Bismillahirrahmannirrahim~
(Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang)
Berlalulah sudah bulan Februari and now almost ke pertengahan bulan March. Tak sangka masa berlari dengan pantasnya. Pejam Celik, Pejam Celik, tak lama lagi Bulan Ramadhan kan kunjung tiba :) bulan yang di nanti-nantikan. Mudah2an Allah mengurniakan kita umur yang panjang untuk menebus segala dosa - dosa yang telah di lakukan, Amin~~
Memang tidak dapat di nafikan berubah menjadi muslimah adalah satu proses yang sangat sukar.. Tambahan lagi, pergaulan bersama kawan - kawan dan keluarga kadang mampu melalaikan manusia. Semua itu hanyalah ujian semata - mata. Mampukah kita bertahan dan bersabar untuk menghadapi dugaan ini? Mampukah kita mempertahankan agama Islam di Zaman yang menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal? Jika sekiranya setiap cabaran itu kita hadapi dengan hati yang sabar dan berlandaskan islam, InsyaAllah, Jannahlah yang dijanjikan untuk kita :).
Untuk renungan bersama, petikan ini di ambil daripada salah satu majalah yang sangat bermanfaat untuk Muslimin dan Muslimat. Bacalah dan semoga petikan ini dapat memberi manfaat kepada si pembaca. Amin~
5 Sifat - Sifat Negatif yang membawa Kemusnahan:-
1. Terlalu Cintakan Dunia
Sifat ini bukan sahaja dianggap satu maksiat besar, tetapi juga yang melahirkan maksiat-maksiat lain. Sabda Rasulullah S.A.W : "Mencintakan dunia itu adalah pokok segala kesalahan."
'Dunia' yang dimaksudkan di sini ialah kehidupan dunia yang tidak dikaitkan dengan urusan akhirat, sebaliknya hanya memuaskan hawa nafsu dan syahwat. Contohnya, gilakan kuasa, status, kedudukan, gelaran, pengaruh dan sebagainya. Bagaimanapun, tidaklah menjadi kesalahan jika kita cintakan 'dunia' seperti ilmu, amal kebajikan malah keperluan-keperluan kehidupan lain yang disalurkan ke arah memberi manfaat kepada kehidupan di dunia dan akhirat.
Secara terperinci, 'dunia' dijelaskan dalam surah Ali Imran: "Dijadikan pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu; wanita, anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang ternak dan sawah lading. Itulah kesenangan hidup di dunia; dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik (syurga)."
2. Terlalu Cintakan Kekayaan
Secara fitrah, manusia memang mencintakan kesenangan hidup atau kekayaan. sifat terlalu cintakan kekayaan bagaimanapun, akan menjauhkan seseorang daripada berbuat baik dan berakhlak mulia. Malah dia akan cenderung melakukan kemaksiatan seperti menipu, menindas, berbohong dan sebagainya. Seorang yang terlalu cintakan kekayaan boleh melakukan kemaksiatan tanpa had!
3. Kedekut
Daripada sifat terlalu cintakan kekayaan, timbul juga sifat kedekut. Harta yang diperolehi tidak dibelanjakan kepada yang hak atau disimpan sehingga tidak mendatangkan manfaat kepada sesiapa, hatta pemiliknya.
Sabda Rasulullah S.A.W; "Orang yang dermawan itu dekat dengan Allah, dekat dengan manusia, dekat dengan syurga, tetapi jauh dari neraka. Manakala orang yang kikir itu jauh dari Allah, jauh dari manusia sekalian, jauh dari syurga, tetapi dekat dengan neraka. Orang jahil yang dermawan lebih dicintai allah daripada orang alim yang kikir. Ingatlah penyakit yang paling parah sekali ialah kikir."
4. Terlalu Cintakan Pengaruh
Sifat terlalu cintakan pengaruh boleh membawa kemusnahan yang lebih besar berbanding sifat terlalu cintakan kekayaan. Pengaruh bermaksud membina status seseorang dalam fikiran orang lain agar mereka memandang tinggi, mematuhi dan tunduk sehingga mereka boleh digunakan untuk kepentingan dirinya. Ini boleh dicapai apabila orang percaya bahawa dia mempunyai kualiti sempurna, walaupun itu tidak semestinya benar. Contohnya orang itu dikatakan berilmu tinggi, alim, baik, segak, kuat dan pelbagai ciri kesempurnaan yang membolehkannya mempengaruhi orang lain. Sifat ini bukan sahaja membawa kemusnahan kepada dirinya kerana tidak boleh dikritik tetapi juga mengheret mereka yang dipengaruhi ke lembah kehancuran juga.
5. Angkuh
Jika seseorang merasakan dirinya hebat dan orang lain juga sama atau lebih hebat daripadanya, maka dia tidak dianggap angkuh. begitu juga jika dia menganggap orang lain keji, dan dia juga sama keji atau lebih keji lagi. keangkuhan timbul apabila seseorang berasa dirinya bernilai, begitu juga orang lain, tetapi nilainya lebih tinggi lagi. Perasaan begini akan membuat dia berasa gembira, dirinya lebih hebat, dan orang lain hina, serta melahirkan perlakuan-perlakuan yang angkuh. Sifat buruk ini boleh timbul dari perasaan bangga dengan keturunan, kecantikan diri, kekuatan tubuh, kekayaan serta ramai pengikut, kawan dan saudara mara.
No comments:
Post a Comment