Thursday, February 23, 2012

Tekad Kemerdekaan Brunei Darussalam

Tekad kemerdekaan

Bergema seruan sorak kemerdekaan
bertunas ilham menanai kedaulatan
tanah airku mengukir kejayaan
kami mengucap kesyukuran

Cahaya Islam membalut keimanan
Rela berkorban menegak kesucian
Walau di rima, udara dan lautan
Panggilan jihad ku turutkan

Dibuminya ku dilahirkan
Atau aku di matikan
Itulah ku pohonkan
Dan juga ku tekad kan

Langit dijunjung buminya subur
Tanah airku aman makmur
Pantainya indah udara segar
Tekad ku terus berkobar

Taat hukum Allah dan juga titah Sultan
Abadikan diri janji kemerdekaan
Segenap pelusuk dunia ku khabarkan
Brunei Merdeka Darussalam

Bismillahirrahmannirrahim.. Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

ALLAHUAKBAR! ALLAHUAKBAR! ALLAHUAKBAR!!

Walaupun post ani aher d publish tp jiwa yg berkobar, semangat yang membara terhadap Negara Tercinta takkan padam di tanam arus masa.. Genaplah sudah 28 Tahun Brunei Merdeka drpd di jajah negeri barat dan negeri lain. Alangkah beruntungnya Rakyat - Rakyat Brunei termasuk aku sendiri kerana tinggal di Negeri yang serba mencukupi :).

Alhamdulillah, aku bersyukur ke hadrat Ilahi atas segala yang telah di kurniakannya.. Negeri Ibunda yang aman Makmur, bumi yang subur, Sultan yang penyayang dan prihatin serta Agama Islam yang menjadi agama rasmi Brunei Darussalam.

Dapatlah di lihat dengan mata yang kasar, Sultan telah banyak memperbaiki kehidupan rakyatnya dengan menyediakan pendidikan dan perubatan yang serba percuma. Alhamdulillahh~~ Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!

Marilah kita sama-sama memanjatkan doa kepada Allah agar Brunei Darussalam akan senantiasa di rahmati Allah dan di lindungi Allah selalu :

"Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan yang mentadbir sekalian alam. Puji-pujian bagi Allah yang melimpahkan nikmat-Nya dan memberi penambahan-Nya. Wahai Tuhan kami, bagi-Mu segala pujian sebagaimana yang sesuai dengan kebesaran zat-Mu dan kehebatan kekuasaan-Mu.

Ya Allah! Kurniakanlah selawat ke atas junjungan kami Nabi Muhammad di mana dengan selawat itu Engkau selamatkan kami daripada segala yang menakutkan dan kerosakan dan Engkau tunaikan bagi kami dengan selawat itu daripada segala kejahatan, dan Engkau angkatkan kami dengan selawat itu di sisi-Mu setinggi-tinggi darjat kemuliaan, dan Engkau sampaikan kami dengan selawat itu sejauh-jauh tujuan daripada segala kebaikan semasa hidup dan sesudah mati. Demikian juga Engkau kurniakan selawat kepada junjungan kami Nabi Muhammad keselamatan yang sebanyak-banyaknya dengan rahmat-Mu wahai yang Maha Mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani.

Ya Allah! jadikanlah negeri ini selamat, tenteram, hidup senang dan begitu juga seluruh negara orang-orang Islam. Kami bermohon kepada-Mu bertambah-tambah taat dalam berugama, kesihatan tubuh badan, luas rezeki serta keampunan daripada dosa dan kesalahan.

Ya Allah! jadikanlah nikmat kami berkekalan, negara kami berdiri teguh, anak-anak keturunan kami sebagai para ulama dan hamba-hamba-Mu yang saleh dan janganlah diberikan orang zalim berkuasa ke atas kami, tabahkan hati kami mengikuti jalan teguh pendirian, lindungi kami daripada punca-punca yang mendorong mendapat penyesalan pada hari kiamat, dengan rahmat-Mu wahai yang Maha Mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani.

Ya Allah! jadikanlah kami umat yang baik yang memberi pertunjuk dengan kebenaran, dan dengannya mereka menjalankan keadilan, yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan jadikanlah kami orang - orang yang berjaya dan tunduk taat kepada-Mu wahai Tuhan yang mentadbir sekalian alam.

Ya Allah! perbaikilah keadaan perhubungan di antara kami, satukanlah di antara hati-hati kami, isikanlah hati-hati kami dengan iman dan hikmah kebijaksanaan (ilmu yang berguna), tetapkanlah kami di atas agama Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, berilah kami kemenangan ke atas musuh-Mu dan musuh kami, wahai yang sebaik-baik meminta harapan dan semulia-mulia tempat meminta!

Ya Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu daripada segala kebaikan di dunia dan di akhirat, sama ada yang kami ketahui daripada kebajikan itu ataupun yang kami tidak ketahui. Dan kami berlindung dengan-Mu daripada segala bentuk kejahatan di dunia dan di akhirat, sama ada yang kami ketahui daripada kejahatan itu ataupun yang kami tidak ketahui.

Ya Allah! rahmatilah keredhaan hati kami, tenteramkanlah hati kami daripada ketakutan, terimalah amalan2 kami, elokkanlah keadaan kami, jadikanlah kesibukan kami dengan mentaati-Mu, ke arah kebaikan sebagai kesudahan kami, jayakan harapan kami dengan bertambah-tambah, sudahilah saat kematian kami dengan kebahagiaan, maka kepada-Mu kami memohon, lalu jangan Engkau hampakan harapan kami.

Wahai Tuhan kami! Ampunilah kami, kedua ibu bapa kami, mukminin, mukminat serta muslimin dan muslimat, yang masih hidup di kalangan mereka dan yang sudah meninggal.

Wahai Tuhan kami! Engkaulah sahaja kami berserah diri, dan kepada Engkaulah kami rujuk bertaubat serta kepada Engkaulah jua tempat kembali.

Semoga Allah mencucuri rahmat dan kesejahteraan yang sempurna ke atas junjungan kami Nabi Muhammad, keluarga dan para sahabat Baginda. Dan segala puji-pujian bagi Allah, Tuhan yang mentadbir sekalian alam.

No comments: