Sunday, February 26, 2012

:: DOA perlu DIRUTINKAN :: (Imam Muda Asyraf)

-- Rusydee Artz --


Doa senjata Mukmin. Itu yang biasa kita dengar dan ramai mengakuinya. Tetapi malangnya amat sedikit yang meyakininya. Allah SWT telah berfirman dalam surah Ghafr (al-Mukmin), ayat 60 yang bermaksud: Dan Tuhanmu berfirman: "Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku (berdoa kepada-Ku) akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina".

Sejauh mana pentingnya doa dalam kehidupan seorang Muslim?
Doa melambangkan akidah seseorang. Semakin kuat keyakinan seseorang, semakin banyak permintaannya terhadap Allah SWT. Tidak ada manusia yang tidak mempunyai masalah. Tidak ada manusia yang boleh berdikari tanpa pergantungan kepada Allah. Oleh demikian, orang yang paling hebat akidahnya adalah orang yang paling hebat pergantungannya kepada Allah. Pergantungan ini dapat dilihat pada doa yang melambangkan seseorang tidak bergantung kepada pertolongan manusia yang lain. Pada masa yang sama membuktikan keyakinan seseorang bahawa Allah SWT itu hampir dan pasti akan mengabulkan setiap doa yang dipohon. Kata Imam Ibn Ataillah: "Tatkala Allah membukakan mulut anda dengan bermohon kepada-Nya maka ketahuilah, sesungguhnya Allah berkehendakkan doa anda diperkenankan." Maka doa perlu dirutinkan dalam hati dan pergerakan manusia. Bukannya sekadar diupacarakan atau sekadar dimajliskan. 

Amalan berdoa selalu dikaitkan dengan cara menadah tangan. Tidakkah hal ini boleh dianggap menyempitkan ruang lingkup amalan berdoa? 
Apabila di sebut doa, maka simbol dan isyarat selalunya digandingkan dengan menadah tangan. Hal ini satu tanda bagaimana permintaan seorang hamba yang merendah diri kepada Tuhan yang Maha Memiliki. 

Namun doa tidak hanya terhad dalam bentuk mengangkat tangan. Sememangnya terdapat amalan Nabi S.A.W menadah tangan ketika berdoa sebagaimana sewaktu peristiwa memohon hujan selepas solat istisqa dan qunut nazilah. Namun, ada juga amalan Nabi S.A.W yang berdoa tanpa menadah tangan seperti doa harian ketika makan, bersama dengan isteri, naik kenderaan, masuk tandas dan sebagainya. 

Begitu juga arahan Nabi S.A.W kepada para sahabat untuk melakukan solat dua rakaat apabila mahu menyelesaikan sesuatu permintaan. Ia sebagai isyarat bahawa ketika di dalam solatlah kamu boleh berdoa. Bahkan dikhabarkan kepada kita makna 'solat' dari sudut bahasa itu sendiri adalah 'doa'. Sebab itulah Nabi bersabda supaya berdoa ketika sujud kerana pada waktu tersebut adalah waktu seorang hamba berada paling hampir dengan Allah SWT.

Sesetengah individu ada ketika berasa kurang yakin doanya tidak dimakbulkan oleh Allah. Bolehkah seseorang bersikap demikian? 

Ramai orang yang tidak sabar dalam berdoa. Bahkan hasil itu mahu sahaja diperolehi dengan segera. Sedangkan Allah sudah menjanjikannya, bukan hasil yang dilihat oleh Allha. Tetapi sejauh mana sikap 'meminta-minta' kepada Tuhan itulah yang diperhatikanNya. 

Bukankah Allah SWT sudah meletakkan garis panduan jangka waktu atau 'expired date' bagi doa? Allah sendiri yang menjanjikan permintaan hamba-Nya pasti diperkenankan. Cuma waktunya masih dirahsiakan.

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam kitab sahihnya suatu hadis daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
"Tidaklah seseorang Muslim berdoa kepada Allah sesuatu doa yang tidak mengandungi dosa atau memutuskan hubungan 'rahim', melainkan Allah akan memberikan kepadanya menerusi satu dari tiga cara, iaitu; diperkenankan apa yang dimintanya atau disimpan-Nya untuknya diakhirat kelak, atau Dia menghindarkan dirinya sesuatu keburukan yang setimpalnya. Para Sahabr pun berkata: 'Kalau begitu kita perbanyakkan berdoa!' Nabi S.A.W menjawab :'Allah SWT lebih banyak memberikan ganjarannya.'"

Jelas di sini, Allah pasti memakbulkan. Persoalan bila dan bagaimana adalah hak Allah. Bukankah 'Pemurah' nya Allah kerana secara berterus terang berjanji Ia akan memakbulkan doa hamba-Nya. Bahkan 'Pemurah' nya Allah berlanjutan sehingga ke akhirat kelak. Tidak dapat di dunia. Maka akhirat itu tempatnya. Negeri mana yang lebih beruntung perolehannya jika dinilai dengan negeri akhirat?

Sebab itu, usah terburu-buru mengharap termakbulnya doa. Kerana sesiapa pun tidak akan selesa apabila ia diminta secara terburu-buru. Lebih lagi meminta kepada Tuhan Semesta Alam. Ingat Nabi S.A.W pernah berpesan: "Akan dikabulkan doa salah seorang dari kalian selama ia tidak terburu-buru, dengan ia berkata: 'Aku telah berdoa, aku telah meminta, tetapi aku tidak melihat ada yang mengabulkannya! Kemudian ia putus asa dan akhirnya meninggalkan doa," (Sahih Bukhari & Muslim).

Dr. Yusuf al-Qardawi pernah berkata: "Penerimaan Allah terhadap sesuatu doa ada syarat-syaratnya. Dari satu segi yang lain, makbulnya doa ada jangkamasanya, ada waktunya tertentu. Allah SWT akan makbulkan doa orang pada waktu yang dikehendakiNya dan cara yang dikehendakiNya."

Realitinya, doa adalah sebahagian daripada fitrah manusia yang memerlukan Tuhan. Doa adalah cara terbaik berhubung dengan Allah. Oleh itu, dari mempertikaikan pelbagai perkara tentang doa, lebih baik kita teladani hadis ini:
"Tiada sesuatu yang lebih mulia di sisi Allah selain daripada doa."
(Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dan al-Hakim serta disahihkannya)

"Ada ketikanya, Allah tidak memberi apa yang kita harapkan, tetapi Dia memberi apa yang kita perlukan." 
 - Imam Muda Nazrul (IM musim ke 2) -

Harus di ingati jugak, solat adalah suatu kaedah yang menghala pada apa yang kita mahukan dalam hidup. Seseorang mukmin yang sebenar sudah tentu tidak akan mencuaikan ibadat sembahyang fardu yang diwajibkan keatasnya termasuklah menjaga waktu sembahyang, mematuhi tertib sembahyang dan sebagainya di samping mengerjakan ibadat sunat seperti sembahyang sunat, puasa sunat dan lain-lain setakat yang termampu olehnya. Tanpa solat wajib lima waktu, apalah doa? 

Rasulullah S.A.W bersabda, "Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah dia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah dia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardunya sesuatu, ALLAH berfirman, "Periksalah, adakah hamba-KU itu mempunyao sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardhunya?" Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain." (Riwayat at-Tirmidzi).

Solat pasti tidak akan merugikan masa, harta dan pengorbananmu tetapi hidup tanpa solat pasti rugi serugi-ruginya!

1 comment:

Anonymous said...

ypost yangm bernas dan boleh dikongsikan bersama...